SAHABATKU TELAH BERUBAH


Tajuk di atas tentu buat orang tertanya-tanya …Sekali lihat maknanya seakan sahabat saya telah berubah ke arah kebaikan . Namun, jangan silap bukan itu yang hendak saya kongsikan saat ini..

Apa yang hendak saya kongsikan tentang satu keadaan yang sudah tidak asing lagi berlaku dikalangan kita. Berubah to Baik , mungkin satu pernyataan yang tindakannya bersifat dinamik . Dari buruk kepada baik, istilah yang sinonim untuk kita kaitkan di sini adalah “ Hijrah” . Namun ada juga individu telah bertindak untuk Berubah to Baik to ?..
Yup..inilah persoalan yang akan saya kongsikan di sini..


Dalam 2 minggu lepas saya telah ditakdirkan untuk bertemu dengan seorang senior saya semasa belajar dulu. Dalam suasana yang tidak dijangka itu, saya telah berdepan dengan satu kejutan. Dia yang saya kenal adalah seorang berperwatakan muslimah dan berpendirian tegas dalam agamanya satu masa dulu telah berubah kepada seorang perempuan biasa . Tudung labuh dan stokin yang pernah dipertahankan dulu sudah tidak melengkapi tubuhnya saat itu.

Bukan itu saja, saya juga sudah berjumpa dengan ramai teman-teman yang tidak istiqomah dalam perubahan mereka. Niat untuk berubah atau menjadi seorang muslim dan muslimah sejati berhenti di tengah jalan. Semangat yang satu masa dulu berkobar-kobar untuk berjuang di jalan Allah hancur berkecai dek serangan ombak yang mengganas.


Syakhsiyyah Islamiyah (Peribadi Islam)

Menyingkap permasalahan ini, pada asasnya Syakhsiyyah islamiyah (keperibadian islam) seseorang muslim dibina oleh dua iaitu aqliyah ( pola fikir) dan nafsiyah ( pola sikap) . Seseorang itu tidak akan dikatakan berkeperibadian islam (syakhsiyyah islamiyah) jika aqliyahnya(pola fikir) saja mencerminkan aqliyah islamiyah tetapi nafsiyahnya(pola sikap) tidak mengikut ketetapan syara’. Di sini dapat kita perhatikan ramai orang tahu menutup aurat itu wajib, memakai tudung itu wajib tetapi masih juga tidak berbuat. Ini kerana mereka hanya mempunyai kefahaman (aqliyah) tetapi nafsiyahnya atau sikapnya tidak terdorong untuk melakukan.

Begitu juga jika dia mempunyai nafsiyah islamiyah, sementara aqliyahnya tidak islamiyah. Contohnya, dia memakai tudung , jadi nafsiyahnya(pola sikap) mendorong untuk memakai tudung. Tetapi masih memakai pakaian yang ketat lagi sendat, di sini dapat dilihat aqliyahnya(pola fikir) tidak mengatakan bahawa menutup aurat meliputi kesemuanya kecuali muka dan tapak tangan, dan tudung yang dipakai hendaklah menutup dada dan pakaiannya yang dipakai tidak boleh mengikut susuk badan. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa seseorang belum dikatakan berkeperibadian islam jika aqliyah (pola fikir)atau nafsiyahnya(pola sikap) tidak islamiyah.


Pengertian Aqliyah (Pola Fikir) Dan Nafsiyah(Pola sikap)

Aqliyah (Pola fikir) merupakan cara yang digunakan untuk memikirkan sesuatu sehingga dapat membezakan halal dan haram . Ketika seseorang itu menjadikan aqidah islam sebagai Qiyadah Fikriyah(landasan berfikir) maka jelas aqliyahnya (pola fikir) adalah aqliyah islamiyah.

Sedangkan nafsiyah(pola sikap) adalah cara yang digunakan untuk memenuhi tuntutan gharizah(naluri) dan hajat al-adhawiyah (keperluan jasmani). Jika naluri dan keperluan jasmani dipenuhi berdasarkan akidah islam maka nafsiyahnya adalah nafsiyah islamiyah.

Penyelesaian

Realiti saat ini Islam sudah asing dari kehidupan umat islam. Bagi mereka yang ingin berubah dari jahiliyah kepada darul islam, pengukuhan aqliyah(pola fikir) dan nafsiyah(pola sikap) mestilah benar-benar mantap, Islam memerintahkan memperbanyakan penguasaan tsqafah Islamiyah untuk mengembangkan aqliyah sehingga mampu menilai yang haq dan batil, halal dan haram.justeru menjadikan aqidah Islamiyah sebagai dasar berfikir dan bertindak . Bagi mengukuhkan nafsiyah Islam memerintahkan untuk melakukan amal-amal perbuatan yang wajib, mandub (sunah) serta amal-amal perbuatan yang disukai Allah, men¬inggalkan sebanyak mungkin perbuatan-perbuatan yang haram, makruh, atau syubhat, untuk memperkuat nafsiyah tersebut sehingga memiliki kemampuan untuk menepis segala perkara yang berlawanan dengan Islam. Kita juga mestilah bergabung dan bergaul dengan orang –orang yang soleh dan beriman yang dapat mengingatkan kita. “ Kambing yang terlepas lebih mudah diterkam serigala”.Semua ini adalah untuk menjadikan Syaksiyyah benar-benar islami dan bertahan .


SAHABATKU TELAH BERUBAH..

0 comments: