Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan
tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas
sekali. Media-media elektronik, media-media cetak serta media-media
massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui
akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-
lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha
menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam
bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya
diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r. a. yang sebahagian darinya adalah
seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah
s. a. w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih
pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama
seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah
Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang
membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-
malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali
tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah
mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada
malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi
Musa A. S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih
sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A. S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat
hambanya seperti Nabi Muhammad S. A. W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-
tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama
tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil,
semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam
kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi,
ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu
(maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan
bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga
ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak
mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya
didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan
berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan
amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya
tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu
seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s. a. w.
yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita
dahulu.

Rasulullah S. A. W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang
yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat
sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas
namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.
(Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai
keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan
keatas Nabi S. A. W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya
rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan
Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari
seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S. A.
W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam
Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang
yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka
hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau
dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya
maka dia termasuk dalam ancaman ini.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas
Nabi Muhammad S. A. W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis
yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi
dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-
lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-
jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-
ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang
biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat,
kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas
Allah juga.

Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa
nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang
diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin
untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita
sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan
sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama
nabi Muhammad S. A. W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian
darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor
dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia
meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti
meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang
menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih
contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam
ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah
diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan
sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang
bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka
saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak
mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak
mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan
bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang
yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun
siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain
dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang
terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S. A. W. atau orang yang
berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai
atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian
walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi
atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk
menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang
dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat
sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi
Muhammad s. a. w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi
sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai
dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa
hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga
sahaja yang shohih. Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti
institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya
prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis
Rasul yang menjadi pegangan kedua Umat Islam. Kita janganlah mudah
tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah
sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s. a. w.
Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan
harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang
diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-
hadis palsu seperti ini.

0 comments: