WASHINGTON 11 Mac - Perang di Iraq didakwa menelan kos keseluruhan sekurang-kurangnya AS$3 trilion (RM9.59 trilion) daripada wang pembayar cukai Amerika Syarikat (AS).

Menurut pakar ekonomi yang juga pemenang Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz, operasi ketenteraan di Iraq ketika ini telah pun melebihi kos perang selama 12 tahun di Vietnam dan dua kali lebih banyak berbanding perbelanjaan sewaktu Perang Korea.

Kesimpulan tersebut dimuatkan oleh Stiglitz dalam buku terbarunya bertajuk The Three Trillion Dollar War: The True Cost of the Iraq Conflict.

"Satu-satunya perang dalam sejarah AS yang memakan belanja besar adalah semasa Perang Dunia Kedua iaitu ketika 16.3 juta askar AS terlibat dalam perang empat tahun yang memakan belanja AS$5 trilion (RM16 trilion).

"Jumlah itu telah pun diselaraskan dengan kadar inflasi," kata Stiglitz dalam buku yang ditulis bersama Profesor Linda Bilmes dari Universiti Harvard.

Menurut mereka, hampir kesemua pasukan bersenjata dikerah menentang Jerman dan Jepun ketika itu dan kos bagi setiap askar adalah kurang daripada AS$100,000 (RM319,584).

"Bagaimanapun, seorang askar yang berkhidmat di Iraq hari ini memerlukan belanja sekurang-kurangnya AS$400,000 (RM1.28 juta),'' tegasnya.

Pentagon menafikan kos yang didakwa Stiglitz dan menyatakan terdapat kos tersembunyi di dalam perang.
- AFP

Sumber: Utusan Malaysia 12/03/08

Ulasan:

Di AS harga minyak naik melebihi USD100. Syarikat-syarikat minyak seperti Exxon, Mobil, Texaco dan Shell mengaut keuntungan besar. Walaupun kejatuhan USD ke tahap yang rendah, namun AS masih berupaya untuk mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu untuk menggaji tenteranya di Irak dan untuk kelengkapan ketenteraan AS di Irak hasil daripada keuntungan syarikat-syarikat cari gali minyaknya. Hasilnya keuntungan perbelanjaan ketenteraan AS di Iraq juga akan jatuh kepada syarikat-syarikat AS seperti Northrop Grumman, Boeing, McDonald Douglas dan Halliburton yang merupakan pembuat peralatan kelengkapan perang AS dan didalangi ahli politik dibelakangnya. Ini menyebabkan kroni-kroni Pentadbiran Bush akan semakin kaya, dan rakyat semakin dihimpit kemiskinan. Seramai 34 juta rakyat AS hidup di bawah paras kemiskinan dan satu berita di MSN mengatakan bahawa golongan kelas pertengahan di AS mengalami kehidupan yang semakin tersempit akibat kemelesetan ekonomi AS.

Namun demikian perbelanjaan kewangan untuk perang di Irak bukan hanya datang daripada sumber kewangan AS sahaja, tetapi juga daripada sumber minyak Irak. Rejim AS telah membina Kedutaan AS di Green Zone di kota Baghdad dengan jumlah perbelanjaan yang mencecah berjuta-juta dollar, dan yang mendapat kontrak untuk pembinaan tersebut adalah syarikat pembinaan yang merupakan kroni pentadbiran Bush, seperti syarikat milik Timbalan Presiden Dick Cheney. Sedangkan dalam masa yang sama terdapat seramai 4 juta pelarian Irak yang merempat di khemah-khemah pelarian, infrastruktur yang musnah semasa peperangan seperti hospital, sekolah dan jana kuasa elektrik yang masih belum dibaiki.

Di AS, mangsa-mangsa ribut taufan Katrina masih belum diberikan pertolongan, dan bandar New Orleans masih belum diperbaiki akibat taufan tahun 2005. Tahun lepas di Minnasota pula telah berlaku keruntuhan jambatan lama sebab tiada peruntukan untuk memperbaiki jambatan yang telah lapuk dan rosak. Pesakit-pesakit di hospital yang tak mampu membayar kos perbelanjaan perubatan dibiarkan mati begitu sahaja.

Apa yang berlaku di Malaysia adalah mikrokosma kepada apa yang sedang berlaku di AS. Di Malaysia, keadaannya sama, harga barang dan minyak naik, tetapi kerajaan pusat meluluskan pembangunan koridor-koridor ekonomi di seluruh pelosok negara daripada keuntungan kenaikan barang dan minyak. Adakah kita rasa tender-tender untuk pembangunan koridor-koridor tersebut akan di isytihar secara terbuka dan diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang menepati kelayakan dan keupayaan sahaja atau dirahsiakan dan ditutup supaya diberikan kepada orang-orang tertentu (kroni-kroni) sahaja? Malaysia dan AS diperintah oleh sistem Kapitalis, oleh itu natijah daripada perlaksanaan sistem tersebut adalah sama sahaja di kedua-dua negara.

0 comments: