Persediaan Memasuki Alam Perkahwinan

Dato’ Dr. Hj Mohd Fadzilah Kamsah.

Persediaan rohani dan mental jauh lebih penting dari persediaan material dan fizikal


Pasangan yang akan berkahwin haruslah memastikan mereka telah cukup bersedia dari sudut lahir dan batin . Di sudut lahir, biasanya semua orang sudah maklum, yakni bersedia di sudut kewangan, kesihatan tubuh badan dan lain-lain keperluan lahir.

Selain itu adalah penting bakal pasangan bersedia di sudut minda atau pemikiran, yakni sedikit sebanyak sudah ada dalam fikiran segala maklumat dari segenap sudut tentang alam rumahtangga.

Lebih-lebih lagi bagi lelaki, kerana beban yang bakal dipikul bila menjadi suami adalah lebih berat berbanding isteri.

Matang



Perkara utama yang perlu ada pada setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan ialah bersifat matang. Ia meliputi kematangan pada minda, pemikiran, tindakan, pergaulan dengan masyarakat, kesediaan memikul tanggungjawab dan yang utamanya kematangan dalam hal-hal agama.

Menyentuh soal kematangan, fakta kajian menunjukkan bahawa kematangan wanita lebih awal daripada lelaki. Wanita bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri lebih awal berbanding lelaki yang memerlukan masa yang agak lama.

Tanggungjawab

Persediaan yang kedua adalah bersedia memikul tanggungjawab . Jika semasa di alam bujang atau anak dara, anda hanya memikul tanggungjawab ke atas diri sendiri disamping tanggungjawab kepada Allah dan ibu bapa sahaja, namun keadaan akan jauh berbeza apabila mendirikan rumahtangga di mana bebanan dan tanggungjawab masing-masing akan semakin bertambah, baik bagi si suami mahupun si isteri.

Tanggungjawab utama sudah pastinya kepada Allah. Bagi lelaki yakni suami, tanggungjawab yang bakal dipikul adalah terhadap isteri dan juga bakal anak-anak anda kelak. Namun perlu diingat, tanggungjawab terhadap ibu bapa masih kekal di tempat yang utama dan perlu didahulukan, selagi ibu dan bapa anda masih hidup lagi. Dengan kata lain, tanggungjawab asas anda masih kekal, ditambah denan tanggungjawab yang baru.


Tanggungjawab Kepada Ibu Lebih Utama


Berlaku peristiwa di zaman Rasulullah s.a.w, seorang sahabat yang sedang nazak tetapi tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah.

Maka para sahabat mengadu hal tersebut kepada Rasulullah. Mendengarkan hal tersebut Rasulullah bertanya,

“Adakah dia masih mempunyai ibu?”

“Ya, dia masih mempunyai ibu,” jawab mereka.

Maka sabda Rasulullah, “ Panggil ibunya menemuiku.:

Apabila mereka menemui si ibu belaiau enggan pada mulanya, tetapi bila mengetahui ianya dari Rasulullah s.a.w, dia datang mengadap baginda.

Rasulullah bertanya, “Wahai ibu, adakah anakmu ada melakukan apa-apa kesalahan kepadamu?”

Si ibu menjawab, “Ya, ada wahai Rasulullah. Dia melebihkan isterinya daripada ibunya,”

Mendengarkannya Rasulullah bersabda, “ Wahai ibu, maafkan anakmu.Mudah-mudahan dia dapat mengucap dua kalimah syahadah.”

Si ibu menjawab , “Dia telah benar-benar menyakitkan hatiku. Aku tidak dapat memaafkannya.”

Mendengar itu Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, wahai sahabat-sahabat sekalian, mari kita kumpulkan kayu api.” Mereka bertanya , “Untuk apa wahai Nabi Allah?’

Jawab baginda, “Aku akan bakar si anak ini, moga dia terlepas daripada azab dan api neraka kerana dia telah derhaka kepada ibunya.”

Terkejut para sahabat mendengarkanya. Malah lebih terkejut lagi si ibu. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya dibakar? Lantas si ibu merayu, “Wahai Rasulullah, janganlah tuan bakar dia ....sesungguhnya aku telah memaafkannya.”

Sejurus selepas itu, anak yang dalam sakaratulmaut itu dengan mudah dapat mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.


Tanggungjawab/Ketaatan Anak Lelaki Terhadap Ibu Dan Bapa.

-Seorang yang telah menjadi suami, masih mempunyai tanggungjawb terhadap ibu
ibu dan bapanya. Tidak berkurang sedikit pun.

-Isteri hendaklah memahami akan tanggungjawab suaminya terhadap ibu bapanya dalam apa jua situasi.

-Isteri tidak boleh mendesak suami melebihkan dirinya (isteri) daripada ibu bapanya.

-Isteri boleh memainkan peranan mengingatkan suami dalam menunaikan tanggungjawab kepada ibubapanya.

-Dosa ibu adalah makbul disisi Allah. Justeru, ibu dan bapa hendaklah mendoakan
perkara yang baik-baik untuk anka-anaknya.

Ulama’ mengatakan beratnya tanggungjawab anak lelaki kepada ibunya ibarat jika didukung ibunya ke Mekah berjalan kaki sekalipun belum memadai untuk membayar sekali dia bergerak ketika dalam kandungan ibunya.


Hal ini berbeza pula bagi wanita. Apabila seeorang wanita itu telah bergelar isteri, ketaatan dan tanggungjawab kepada suaminya lebh utama daripada ketaatan dan tanggungjawab kepada ibubapanya. Hayatilah kisah ini:

“Taatlah kepada Suamimu..”

Kisah ini memberi gambaran jelas tentang ketaatan seorang isteri kepada suami adalah lebih utama berbanding yang lain, walaupun terhadap ibu bapanya sendiri.

Terjadi di zaman Rasulullah s.a.w, seorang lelaki akan bermusafir untuk jangka waktu yang lama. Sebelum berpergian, beliau telah berpesan kepada isterinya untuk tinggal di rumah dan tidak keluar ke mana-mana sepanjang ketiadaannya.

Suatu hari ayah si isteri jatuh sakit. Apabila mendapat tahu yang sedemikian, wanita tersebut telah menghantar seseorang menemui Rasulullah untuk meminta izin menjenguk ayahnya. Melalui orang perantaraan tersebut Rasulullah menjawab permintaan wanita itu, “Taatlah kepada suamimu.”

Tidak lama kemudian diberitahukan bahawa bapanya telah pn meninggal dunia. Sekali lagi dia menghantar seseorang menemui Rasulullah untuk meminta izin menziarahi jenazah bapanya.Dan sekali lagi Rasulullah masih bertegas memberitahu : “Taatlah kepada suamimu.”

Maka jenazah bapanya terus dikebumikan tanpa si anak sempat menatapnya untuk kali terakhir.

Beberapa hari selepas itu, Rasulullah menghantar seseorang pergi menemui wanita tersebut, untuk memberitahunya bahawa Allah telah mengampuni dosa-dosa arwah bapanya kerana ketaatan dia kepada suaminya.

Rasulullah Bersabda yang bermaksud jika boleh manusia sujud kepada manusia lain nescaya aku perintah isteri sujud kepada suaminya.

0 comments: